Sunday, 22 Muharram 1446 | 2024/07/28
Time now: (M.M.T)
Menu
Main menu
Main menu
‘Perjuangan negara Islam IS bukan perjuangan Nabi Muhammad'

بسم الله الرحمن الرحيم

 

 

بسم الله الرحمن الرحيم

‘Perjuangan negara Islam IS bukan perjuangan Nabi Muhammad'

KUALA LUMPUR, 3 Oktober:

Perjuangan untuk mewujudkan negara Islam atau sistem khalifah yang dibawakan Islamic State atau kumpulan militan IS tidak mengikut acuan diperjuangkan Nabi Muhammad S.A.W.

Pengarah Media Hizbut Tahrir, Osman Bakhash berkata, Nabi Muhammad menggunakan kaedah diplomasi dan kebijaksanaan dalam berdakwah di Makkah sebelum berhijrah serta menubuhkan negara Islam di Madinah.

Menurutnya, IS menyalahgunakan jihad, iaitu peperangan untuk mewujudkan sistem khalifah di Iraq dan Syria, sedangkan Rasulullah tidak mendirikan negara Islam Madinah menerusi peperangan dan membunuh orang ramai.

"Rasulullah pergi ke Madinah, selepas mendapat bai'ah daripada pemimpin-pemimpin tempatan di sana yang bersetuju untuk menjadikan baginda sebagai pemimpin dan menubuhkan kerajaan di sana.

"Namun, pemimpin IS, Abu Bakr al Baghdadi sebaliknya mengatakan dia mendapat bai'ah daripada pengikut dan ahli kumpulannya sendiri dan ia bukanlah kaedah yang telah digunakan oleh Nabi Muhammad S.A.W," katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, Osman menyampaikan syarahan pada Muktamar Khilafah "Caliphate" 2015 Hizbut Tahrir Malaysia di Hotel Nouvelle.

Turut hadir ialah jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia, Abdul Hakim Othman dan aktivis Hizbut Tahrir Jordan, Dr Mohamad Malkawi.

Dalam pada itu, Osman menggesa pemimpin dan negara umat Islam di seluruh dunia supaya menghentikan dan menamatkan krisis yang berlaku di Syria ketika ini, yang menyebabkan jutaan rakyat negara itu menjadi pelarian.

Jelasnya, punca utama krisis itu adalah pentadbiran regim Presiden, Bashar al-Assad yang berterusan membunuh rakyatnya sendiri dengan bantuan negara asing, seperti Iran, Rusia dan Amerika Syarikat.

"Ketika ini, banyak pihak bercakap untuk menerima pelarian dari Syria, termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan akan menerima 3,000 pelarian dari negara berkenaan.

"Kita harus ingat bahawa rakyat Syria tidak mahu menjadi pelarian dan mereka mahu terus tinggal di negara berkenaan, namun ia tidak akan dapat direalisasikan, sekiranya Bashar tidak dijatuhkan dan keamanan dapat diwujudkan di negara berkenaan.

"Sekiranya Bashar sudah tidak lagi membunuh rakyatnya, isu untuk menerima pelarian tidak lagi akan timbul, kerana mereka tidak perlu lagi melarikan diri ke Turki, Eropah mahupun ke Malaysia," tegasnya.

(Source: The Rakyat Post, October 4, 2015)


Leave a comment

Make sure you enter the (*) required information where indicated. HTML code is not allowed.

back to top

Site Categories

Links

West

Muslim Lands

Muslim Lands